Bila sudah tiada sesiapa yang sudi menadahkan telinga, akhirnya kepada Tuhan ku luahkan duka dan kuadukan semua. Yang selalunya cuma ku panjatkan doa dan kesyukuran, pohon keampunan dan ketabahan, kini sudah seperti lazimnya aku curahkan rasa hatiku di tikar sembahyang. Kadang aku malu, walau dosaku tidak terkira namun Dia sentiasa ada, Maha Mendengar Lagi Maha Mengasihani. Walau aku selalu lupa menyembahnya namun saban hari pasti ada nikmat dan kurnia. Lantas dengan kenyataan ini makin aku sedih dan kecewa. Aku manusia yang jelik. Hubungan aku dengan Tuhan tidak kujaga. Apatah lagi dengan manusia, pasti penuh cacat celanya. Tiap kali aku menadah tangan penuh yakin Dia pasti mendengar, tiap kali itu titis air mata ini jatuh. Aku bukan lagi Dila yang dulu. Aku tidak lagi seperti Dila yang itu.Yang aku lalui sepanjang ini makin mengubah apa yang aku fikirkan aku. Menagajar aku bahawa tidak semua orang suka kita. Tidak semua perilaku kita boleh diterima. Dan dengan itu aku sedar betapa jeliknya tingkah laku ku. Perkataan ku. Gurauan ku. Walau itu semua hiburan tapi aku tahu kini semua ada batasnya. Ada temboknya.
Aku kesal mengapa tidak dari awal Tuhan yang kucari. Mengapa hanya aku lantunkan doa-doa yang sama setiap hari, bukan dari hati. Betapa nikmatnya mengadu padamu, Tuhan. Betapa lega setiap kali itu. Dan di setiap kali aku mengadu ingin saja aku keluarkan semua mutiara jernih ini semahu-mahunya. Tapi tidak di sini tidak di waktu ini. Lalu kucari malam-malam sepi. Dan di setiap kali itu mata ku akan berkaca lalu berderai segalanya. Seperti kata-kataku seperti itu juga air mataku. Ya tuhanku, tabahkanlah hatiku. Ya Tuhanku, Engkaulah tempatku mengadu, satu-satunya.
0 ciuman. tambah la lagi.:
Post a Comment